Wednesday 17 July 2013

Hijrah (Cerpen)



HIJRAH
            Suasana bingit di dalam sebuah kelab hiburan terkemuka di ibu kota langsung tidak dipedulikannya. Sarah masih terus menari. Lenggok tubuhnya menarik perhatian beberapa orang lelaki yang berada di dalam kelab tersebut. Sarah bangga kerana memiliki tubuh yang seksi. Tubuh yang baginya mampu untuk buat semua lelaki menyimpan impian untuk memilikinya.
            “Sarah! Sarah!” panggil satu suara.
            Sarah masih asyik menari. Panggilan temannya langsung tidak diendahkan. Helmi sudah tidak sabar dengan kerenah Sarah. Tangan gadis itu ditarik.
            “Apa ni?” tanya Sarah marah.
            “Jom balik!” ajak Helmi lantas menarik tangan Sarah keluar dari kelab hiburan itu.
            Sarah jalan terhuyung-hayang kerana kesan alkohol yang baru ditelannya tadi.
            “Woi! Kau nak bawa aku ke mana ni? Aku tak mahulah!” jerit Sarah.
            Helmi tidak mempedulikan jeritan Sarah. Tangan Sarah terus ditarik menuju ke keretanya. Sarah cuba melepaskan tangannya dari genggaman Helmi. Helmi akhirnya mengalah setelah Sarah meronta-ronta. Jeritan suara Sarah menarik perhatian beberapa orang yang ada di sekitar kawasan itu.
            “Kau ni apa hal? Mabuk?” tanya Sarah kepada Helmi dalam keadaan mamai.
            “Bukan aku yang ada hal! Tapi kau! Mak kau sakit di kampung tapi kau buat perangai di sini!” marah Helmi.
            “Ah! Peduli apa aku dengan orang tua tu! Dia bukan sayang aku pun,” ucap Sarah.
            “Kau ni dah mabuk teruk tau tak?” Helmi sudah tidak tahan dengan sikap Sarah.
            Sekali lagi Helmi cuba menarik tangan Sarah agar masuk ke dalam keretanya.
            “Wei! Aku kata aku tak mahu! Kau sajalah yang pergi jumpa orang tua tu. Suruh dia makan ubat banyak-banyak. Jangan nak menyusahkan orang tau tak?” jerkah Sarah.
            Tiba-tiba beberapa orang lelaki menghampiri mereka berdua.
            “Ini apa hal ni?” tanya salah seorang lelaki yang bertubuh tegap.
            “Lelaki ni paksa saya ikut dia!” ujar Sarah.
            “Encik...saya sebenarnya...”
            Helmi tidak sempat menerangkan perkara sebenar. Lelaki-lelaki itu terus memukulnya sehingga dia tidak berdaya lagi. Setelah Helmi sudah tidak mampu bangun, mereka semua berlalu meninggalkan Helmi yang sedang mengerang menahan kesakitan.
******
            Sarah terasa tubuhnya lemah dan tidak berdaya. Kepalanya bagaikan dihempap batu besar. Sarah memicit kepalanya sambil matanya masih terpejam. Perlahan dia membuka matanya. Dia hairan di mana dia berada. Tempat itu terlalu asing baginya.
Jika dilihat daripada dekorasi bilik itu. Kelihatan seperti dia berada di bilik hotel yang mewah. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Sunyi tiada sesiapa pun di situ. Kesejukan alat penghawa dingin menggigit tubuhnya.
            Tiba-tiba Sarah terasa kepalanya bagai diketuk. Dia tersedar yang dia rupanya tidak berpakaian. Sarah menarik selimut menutup tubuhnya. Dia ketakutan.
            “Apa yang dah berlaku pada aku ni?” tanya Sarah sendirian.
            Sarah seperti sudah dapat menduga apa yang telah berlaku kepadanya malam tadi. Dia jadi semakin takut. Sarah mula menangis. Tiba-tiba keluar seorang lelaki dari bilik mandi yang terdapat di dalam bilik itu.
            “Hai sayang, dah bangun?” tanya lelaki itu.
            “Kau siapa?” tanya Sarah.
            “Eh! Awak dah lupakah. Saya yang selamatkan awak daripada lelaki yang paksa awak masuk kereta semalam,” jelas lelaki itu.
            Sarah cuba mengingati kejadian malam tadi.
            “Helmi!” hanya nama itu yang keluar dari bibir Sarah.
            Sarah teringat sekarang, Helmi dibelasah teruk oleh lelaki di hadapannya ini bersama rakan-rakannya. Mereka kemudian masuk semula ke dalam kelab. Lelaki tersebut mengajaknya minum arak. Oleh kerana terlalu mabuk, Sarah langsung tidak sedarkan diri.
            “Apa yang awak dah buat pada saya?” tanya Sarah dalam tangis.
            Lelaki tersebut tersenyum sambil tangannya cuba menyentuh pipi Sarah. Sarah menepis.
            “Semalam awak dah balas budi saya dan kawan-kawan saya. Terima kasih banyak-banyak, sayang. Maaflah, saya tak tahu pun yang awak masih suci,” ujar lelaki itu lantas ketawa.
            Hati Sarah diruntun kesalan yang teramat sangat. Kesuciannya telah diragut oleh lelaki yang tidak dikenalinya. Dia menyesal kerana tidak mendengar nasihat sahabatnya, Helmi. Sarah menangis teresak-esak. Namun nasi sudah menjadi bubur. Penyesalannya tidak dapat mengembalikan apa yang telah terjadi.
            Sarah tiba-tiba teringatkan ibunya. Helmi semalam datang kerana ingin mengajaknya pulang menemui ibunya yang sedang sakit tenat. Namun sikap degilnya akhirnya telah memakan dirinya sendiri.
******
            Sarah memandu merentasi lebuh raya untuk pulang ke kampungnya. Dia ingin segera menemui ibunya. Dia ingin sujud di kaki ibunya. Dosanya terlalu banyak. Dia lalai dengan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam.
            “Ya-Allah, semoga kau memberikan aku hidayahMu,” doa Sarah di dalam hati.
            Air mata Sarah benar-benar ikhlas dengan keinsafannya. Dia tidak mampu untuk memadam kisah hitam yang telah berlaku. Namun, dia yakin Allah itu maha pengampun. Dia berjanji tidak akan kembali ke kehidupan hitamnya yang lalu.
            Sebaik tiba di halaman rumahnya, Sarah terpandang kereta Helmi terpakir di situ. Dadanya berdebar-debar hendak melangkah keluar dari kereta. Tidak lama kemudian, Helmi keluar dari rumah ibunya. Perlahan Sarah keluar dari keretanya. Mata mereka berdua saling berpandangan. Helmi terkejut melihat perubahan Sarah. Sarah benar-benar telah berubah. Dia sudah mula menutup aurat dan tidak lagi berpakaian seksi seperti sebelum ini.
            Air mata Sarah turun laju. Dia menghampiri Helmi. Helmi mengajaknya naik. Namun Sarah meminta Helmi mendengar ceritanya dulu sebelum dia menemui ibunya. Dalam tangisan, Sarah menceritakan detik hitam yang telah berlaku kepada dirinya. Dia mengaku kepada Helmi bahawa dia benar-benar telah insaf dan ingin berhijrah menjadi seorang Muslim sejati.
            “Alhamdulillah. Kau akhirnya kembali ke pangkal jalan. Jangan diungkit perkara yang sudah berlaku. Semua itu dugaan Allah untuk kau,” pujuk Helmi.
            Sarah dan Helmi kemudian bersama-sama naik ke rumah menemui ibu Sarah. Ibunya terbaring lesu di atas katil. Sarah segera menghampiri ibunya.
            “Mak! Ampunkan Sarah mak!” Sarah menangis sambil memeluk ibunya.
            Ibu Sarah membuka matanya perlahan-lahan.
            “Sarah...kau pulang akhirnya,” ucap ibunya perlahan.
            “Ya, mak. Ampunkan Sarah mak. Sarah dah insaf,” kata Sarah lagi.
            “Mak dah lama ampunkan Sarah,” ucap ibunya lagi.
            Sarah dan ibunya melepaskan rindu mereka. Helmi mengucap syukur kerana Sarah benar-benar telah berhijrah ke arah yang lebih baik. Dia berdoa semoga penghijrahan ini adalah kekal untuk selamanya.
TAMAT

No comments:

Post a Comment