Thursday 27 June 2013

Bab 7 Secerah Langit



            Lara sedang bermain bersama adiknya di kawasan hadapan rumah mereka. Sedang Lara berkejaran dengan adiknya, tiba-tiba sebiji bulu tangkis mengenai kepala Lara.
            “Aduh!” jerit Lara.
            “Alamak!” kedengaran satu suara dari rumah sebelah.
            Kelihatan seseornag menghampiri pagar rumah Lara.
            “Kena awakkah?” tanya seorang budak lelaki.
            Lara mengenali budak lelaki itu. Dia adalah budak yang dia nampak ketika di balkoni bilik semalam. Budak yang sedang mencuci kereta dengan abangnya.
            “Lukakah?” tanya seorang lagi budak lelaki yang tiba-tiba muncul.
            “Ta...tak!” jawab Lara sedikit gugup.
            “Abang Faril!” panggil Naim.
            “Naim! Ni siapa? Sedara Naimkah?” tanya Faril.
            “Bukan. Inilah kakak Naim,” beritahu Naim.
            “Ooo...kakak Naim. Tak pernah nampak pun. Kena kurungkah selama ni?” tanya Faril bergurau.
            Fakri yang berada di belakang Faril ketawa. Lara tiba-tiba rasa bengang dikata begitu.
            “Relakslah, abang bergurau saja,” ujar Fairil sebaik terlihat perubahan wajah Lara.
            “Kak Long duduk kampung. Rumah Tok Ayah!” beritahu Naim.
            “Ooo...Kak Long sekolah darjah berapa?” tanya Faril.
            “Darjah Enam,” jawab Lara acuh tak acuh.
            “Eh! Sebaya dengan Fakrilah. Baru lepas UPSR kan?” tanya Faril.
            Lara mengangguk.
            “Nah! Ambillah bola ni,” ucap Lara sambil menghulurkan bulu tangkis kepada Faril.
            “Cuti sekolahlah ni ya. Patutlah baru nampak,” kata Faril sambil menyambut bulu tangkis dari tangan Lara.
            “Abang sekolah tingkatan berapa?” tanya Lara.
            “Tingkatan Dua,” jawab Faril.
            “Abang! Cepatlah!” panggil Fakri.
            “Okey! Okey!” sahut Faril lantas kembali menuruti langkah Fakri balik ke rumahnya.

Bab 6 Secerah Langit



            Cuaca di Kuala Lumpur cerah. Lara dan keluarganya tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 4.30 petang. Kuala Lumpur sememangnya semakin sibuk. Sejak ayahnya ditukarkan ke Kuala Lumpur, hanya musim cuti sekolah sahaja dia berpeluang balik ke rumah sendiri. Hidup dibesarkan oleh datuk dan nenek menjadikan dia seorang yang kurang bergaul.
            Setelah tiba di rumah, ayahnya mengeluarkan beg pakaian dari bonet kereta. Lara memandang rumah yang dirindui sekian lama. Hatinya tertanya-tanya bagaimana biliknya sekarang. Sudah berubahkah?
            “Baru sampaikah Cik Yah?” kedengaran pertanyaan daripada jiran disebelah rumah.
            “A’aah...baru sampai,” jawab ibu Lara.
            “Inikah anak sulung awak?” tanya jiran itu lagi.
            Lara hanya tersenyum memandang jiran ibunya dengan hormat.
            “Inilah dia Lara. Dah lama dia tak balik. Selalunya kami yang balik ke sana,” ujar ibunya.
            Jiran ibunya pun Lara tidak kenal. Memang benar kata ibunya. Tahun ini, inilah pertama kali dia menjejakkan kaki ke rumahnya. Setiap kali cuti sekolah, neneknya akan meminta supaya keluarganya yang pulang ke kampung. Selama itu jugalah dia terpaksa memandang wajah hipokrit ibu saudaranya.
            “Lara! Salam mak cik,” suruh ibunya lantan mematikan lamunannya.
            Lara segera menghampiri pagar dan bersalaman dengan jiran ibunya itu.
            “Lara sekolah darjah berapa?” tanya jirannya lagi.
            “Baru lepas UPSR, mak cik,” jawab Lara.
            “Ooo...nak masuk sekolah menengah dah. Sebayalah dengan anak mak cik, Fakri,” ujar jirannya lagi.
            Lara hanya tersenyum.
            “Ya tak ya. Lara sebaya dengan Fakri,” kata ibunya pula.
            “Itulah. Haa...macam mana dengan ujian hari tu? Okey tak?” tanya jirannya kepada Lara.
            “Alhamdulillah. Setakat ni boleh kata okeylah. Cuma keputusannya saja tak tahu lagi,” jawab Lara.
            “Eh! Kami masuk dululah, ya. Penat dah berjalan jauh ni,” sampuk ibunya.
            “Yalah! Kita ni pun macam tak menyempat nak berborak,” ujar jirannya lantas ketawa.
            Mereka sekeluarga kemudian masuk ke dalam rumah teres dua tingkat yang dibeli bapanya sejak beberapa tahun yang lalu. Lara memandang sekeliling rumahnya. Seperti biasa rumahnya memang kemas dan cantik. Ibunya sememangnya seorang yang rajin dan kreatif dalam menyusun atur rumah. Ada sahaja idea kreatifnya dalam menghias rumah. Ketika Lara masih belum bersekolah dulu, dapat dia lihat hampir setiap minggu susun atur perabot rumahnya berubah hasil cetusan idea ibunya.
            “Lara, jom masuk bilik. Ibu dah kemaskan bilik Lara,” ujar ibunya.
            Lara menuruti langkah ibunya naik ke tingkat atas. Pintu bilik dibuka. Lara teruja melihat susun atur biliknya yang kemas. Perabotnya sudah ditukar baharu. Warna bilik juga sudah ditukar. Jika dahulu biliknya berwarna kuning cair, kini dindingnya telah berubah wajah menjadi warna biru lembut yang mendamaikan.
            “Lara suka tak?” tanya ibunya.
            “Suka!” jawab Lara.
            Ibunya tersenyum memandang Lara. Lara menuju ke katilnya. Dahulu katilnya hanya bersaiz bujang, kini telah ditukar kepada katil besar lengkap satu set dengan almari solek dan almari. Sesuai untuk anak gadis sepertinya yang sedang meningkat remaja.
            “Lara rehatlah dulu. Kemas baju-baju tu masuk dalam almari. Lepas maghrib nanti kita semua keluar makan, ya. Hari ini ibu tak masaklah. Esok baru ibu masak istimewa untuk Lara, ya,” beritahu ibunya.
            Lara sekadar mengangguk lantas tersenyum. Ibunya membalas senyuman Lara. Dia kemudian keluar dari bilik meninggalkan Lara sendirian. Lara memandang sekeliling biliknya. Dia menghampiri pintu sliding biliknya. Langsir berwarna putih dengan corak abstrak biru lembut diselak. Pintu sliding dibuka. Lara menuju ke balkoni biliknya. Dapat dia lihat pemandangan sekitar taman perumahan itu kerana kedudukan rumahnya agak tinggi di atas bukit.
            Lara memandang ke bawah. Dia terpandang seorang budak lelaki sedang mencuci kereta bersama seorang lelaki yang sudah remaja. Sesekali kelihatan mereka bergurau dengan memancutkan air daripada getah paip sesama mereka. Mereka kelihatan begitu gembira.
            “Ini tentu anak mak cik yang tegur aku tadi,” ucap Lara sendirian.
            Budak lelaki yang hampir sebaya dengannya sempat memandang ke arah Lara yang sedang memerhatikan mereka. Lara terkedu tatkala kehadirannya di situ disedari.
            “Kak Long!” tiba-tiba kedengaran suara Naim, adik lelakinya.
            Lara menoleh. Terpandang olehnya kedua-dua adik lelakinya. Naim dan Zaim meluru menuju ke katilnya lantas duduk di atasnya. Lara menuju ke arah adiknya.
            “Kak Long buat apa?” tanya Naim.
            “Tak ada buat apa. Saja tengok pemandangan di luar,” jawab Lara.
            “Kak Long duduk sini terus?” tanya Naim lagi.
            Lara tiada jawapan untuk soalan adiknya. Kalau boleh memang dia hendak terus bersekolah di Kuala Lumpur. Malas rasanya dia hendak pulang semula ke kampung datuk dan neneknya itu. Bukan kerana bencikan datuk dan neneknya. Tetapi kerana tidak tahan berdepan dengan sikap Mak Udanya. Lara mengeluh.
            “Kenapa Kak Long mengeluh?” tanya Naim.
            ‘Ah! Budak kecil ni banyak pula hendak ditanyanya,’ ucap Lara di dalam hati.
            “Kak Long!” panggil Naim.
            Naim merupakan anak kedua dalam keluarganya. Jarak usianya dengan Lara ialah empat tahun. Bermakna Naim sekarang berada di dalam Darjah Dua. Manakala Zaim pula baru sahaja berusia empat tahun. Bercakap pun belum fasih lagi.
            “Kak Long! Dengar tak, Naim tanya ni?” tanya Naim mendesak.
            “Ya! Kak Long dengar. Naim suka tak kalau Kak Long duduk sini?” tanya Lara kepada adiknya.
            Naim mengangguk laju.
            “Suka?” tanya Lara lagi inginkan kepastian.
            “Mestilah suka. Naim boringlah. Dalam rumah ni Naim tak ada kawan,” ujar Naim.
            “Zaimkan ada,” kata Lara pula.
            “Zaim budak kecil. Tak seronoklah nak main dengan Zaim. Kalau Naim buat kerja sekolah, Zaim selalu kacau,” jelas Naim.
            Lara ketawa memandang adik-adiknya. Zaim hanya diam terkedu memandang abangnya mengadu perangainya kepada kakaknya.
            “Kak Long!” panggil Zaim pula.
            “Ya, Zaim,”
            “Zaim nak sekolah!” ucap Zaim.
            “Zaim mana boleh sekolah. Zaim kecil lagilah,” sampuk Naim.
            Lara ketawa melihat gelagat adik-adiknya.
            “Lagi dua tahun, Zaim boleh sekolah,ya,” beritahu Lara.
            “Dua tahun? Zaim empat tahunlah!” ucap Zaim.
            “Ish...orang sekolah umur enam tahunlah!” kata Naim pula.
            Zaim menggaru kepalanya. Mungkin bingung memikirkan maksud kata-kata abangnya itu.
            “Tak apa, nanti Zaim dah besar sikit saja lagi, Zaim boleh sekolah,” kata Lara memberi harapan kepada adiknya.
            “Betul?” tanya Zaim.
            “Betul!” kata Lara.
            “Janji!”
            Lara ketawa lagi.
            “Kak Long jangan layanlah Zaim ni,” sampuk Naim pula.
            Tiba-tiba terpacul ayahnya di muka pintu bilik Lara.
            “Naim! Zaim! Pergi mandi. Kita nak keluar makan kejap lagi,” suruh ayahnya.
            Naim dan Zaim pantas turun dari katil dan berlalu dari bilik Lara. Ayahnya menghampiri Lara.
            “Tak kemas baju lagi?” tanya ayahnya.
            “Lara nak kemaslah ni,” jawab Lara.
            Lara menyusun pakaiannya.
            “Hmm...kemas cepat. Lepas tu mandi. Kita keluar makan,” arah ayahnya.
            Ayah Lara mula mengatur langkah untuk keluar dari bilik Lara.
            “Ayah!” panggil Lara.
            Ayahnya menoleh.
            “Ada apa Lara?” tanya ayahnya.
            “Boleh tak Lara bersekolah Menengah di KL?” tanya Lara.
            Ayahnya memandang Lara lama. Mata mereka saling berpandangan.

Bab 5 Secerah Langit



            Pagi Itu Lara bersemangat membantu Mak Uda menyiapkan sarapan pagi. Sesekali kelihatan dia menyanyi sendirian.
            “Haa! Bagus sangatlah perangai tu. Anak dara menyanyi di dapur! Dapat laki tua nanti baru tau!” herdik Mak Uda tiba-tiba.
            Lara berhenti menyanyi. Dia menumpukan perhatian terhadap kerja yang sedang dilakukannya. Sesekali dia menjeling melihat wajah Mak Udanya. Setelah hidangan siap dihidangkan di atas meja makan, Lara memanggil datuknya untuk bersarapan bersama. Sebelum itu Lara telah menghantar sarapan untuk neneknya di bilik.
            Petang itu ibu, ayah dan adik-adik Lara tiba. Kedatangan mereka disambut baik oleh datuk dan nenek Lara. Mak Uda pula tiba-tiba kelihatan sungguh mesra. Senyuman tidak lekang di wajahnya. Lara sedikit pun tidak berasa hairan dengan sikap ibu saudaranya itu. Sememangnya dia mengerti bahawa Mak Udanya itu memang pandai berlakon.
            “Mak dengan ayah sihat?” tanya ibu Lara kepada datuknya sambil bersalaman.
            “Alhamdulillah. Kami semua sihat,” ujar datuk Lara.
            Lara memandang ayahnya yang menbimbit beg pakaian. Hatinya tertanya-tanya.
            “Ayah! Beg baju ni nak bawa ke mana?” tanya Lara.
            “Nak bawa masuk biliklah,” jawab ayahnya.
            “Tapi ayah cakap, hari ni datang nak ambil Lara balik KL,” kata Lara pula.
            “Memanglah. Tapi malam ni kami tidur satu malam di sini. Kenapa? Tak boleh?” tanya ayah Lara.
            “Bukan tak boleh. Tapi si Lara tu dah tak sabar nak balik KL,” sampuk datuknya.
            Wajah Lara bertukar muram. Namun, jauh dalam hatinya simpati dengan ayahnya yang sudah memandu jauh. Tentu dia keletihan. Jika diikutkan hatinya, ingin sahaja dia balik hari itu juga. Melihat adik-adiknya seronok tatkala tiba di kampung, tidak sampai hati pula dia hendak meragut kegembiraan adik-adiknya.
            “Haa Lara! Termenung apa pula lagi tu?” tanya datuknya mematikan khayalan Lara.
            “Eh! Tak ada apa-apa,” jawab Lara lantas masuk ke dalam bilik.
            Beg pakaian yang terletak di atas katil dipandangnya lama. Bersemangat Lara mengemas pakaiannya malam tadi. Dia sangka esok pagi suasana baru yang akan dia pandang. Bukannya kampung datuknya itu. Bukan wajah Mak Udanya. Lara mengeluh.
            “Tak baik anak dara mengeluh,” sapa ibunya yang tiba-tiba terpacul di muka pintu bilik.
            Lara tersentak. Dia kemudian tersenyum memandang ibunya. Ibu Lara menghampirinya lantas duduk di sebelah Lara.
            “Dah kemas semua baju?” tanya ibunya.
            “Dari semalam Lara dah kemas, ibu,” jawab Lara.
            “Lara tak sabar nak balik rumah, ya?” tanya ibunya lagi.
            Soalan ibunya tidak dijawab.Lara memandang ibunya lama. Pandangannya sayu.
            “Ibu tak suka Lara balik rumah ibukah?” tanya Lara.
            “Lara...kenapa Lara cakap macam tu?” tanya ibunya kembali.
            Lara tunduk. Tidak semena-mena air matanya jatuh. Dadanya terasa sebak. Entah kenapa hatinya terasa seperti dihiris.
            “Lara...kenapa ni?” ibunya terus bertanya.
            Bahu Lara disentuh. Hairan melihat sikap anak gadisnya yang sungguh sensitif itu. Diusap bahu Lara berulang kali. Sementara sendu Lara semakin kuat. Air matanya gugur membasahi seluarnya.
            “Ibu dengan ayah tak sayang Lara?” tanya Lara dengan nada perlahan.
            “Ish...kenapa pula ibu dan ayah tak sayang Lara? Larakan anak kami. Anak sulung pula tu. Tentulah kami sayang sangat dengan Lara,” ucap ibunya.
            Lara mengesat air matanya. Dia mengangkat wajahnya memandang ibunya. Ibunya mengusap pipi Lara yang basah.
            “Anak ibu ni makin besar semakin sensitif. Lara jangan fikir yang bukan-bukan, ya. Semua orang sayangkan Lara. Tak mahu nangislah. Tak cantik nanti anak dara ibu ni,” pujuk ibunya.
            “Lara memang tak cantik pun,” ujar Lara.
            “Ish...siapa kata Lara tak cantik. Laralah anak ibu yang paling cantik,” puji ibunya.
            “Tipulah. Lara mana cantik. Sepupu yang lain lagi cantik daripada Lara,” kata Lara.
            “Ish...tak baik Lara cakap macam tu. Kita kena bersyukur. Lara cantik, cukup sempurna segala sifat Allah kurniakan. Tak baik Lara cakap begitu,” kata ibunya pula.
            Lara hanya diam. Wajahnya ditundukkan. Dia tahu memang ada kebenarannya kata-kata ibunya tadi. Dia sepatutnya bersyukur dengan apa yang telah Tuhan berikan kepadanya. Jika dia merasakan kekurangan pada dirinya, ada lagi orang lain yang kurang bernasib baik. Sekurang-kurangnya dia tidak cacat. Dia sempurna. Lara mengucap syukur di dalam hati.