Thursday 27 June 2013

Bab 6 Secerah Langit



            Cuaca di Kuala Lumpur cerah. Lara dan keluarganya tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 4.30 petang. Kuala Lumpur sememangnya semakin sibuk. Sejak ayahnya ditukarkan ke Kuala Lumpur, hanya musim cuti sekolah sahaja dia berpeluang balik ke rumah sendiri. Hidup dibesarkan oleh datuk dan nenek menjadikan dia seorang yang kurang bergaul.
            Setelah tiba di rumah, ayahnya mengeluarkan beg pakaian dari bonet kereta. Lara memandang rumah yang dirindui sekian lama. Hatinya tertanya-tanya bagaimana biliknya sekarang. Sudah berubahkah?
            “Baru sampaikah Cik Yah?” kedengaran pertanyaan daripada jiran disebelah rumah.
            “A’aah...baru sampai,” jawab ibu Lara.
            “Inikah anak sulung awak?” tanya jiran itu lagi.
            Lara hanya tersenyum memandang jiran ibunya dengan hormat.
            “Inilah dia Lara. Dah lama dia tak balik. Selalunya kami yang balik ke sana,” ujar ibunya.
            Jiran ibunya pun Lara tidak kenal. Memang benar kata ibunya. Tahun ini, inilah pertama kali dia menjejakkan kaki ke rumahnya. Setiap kali cuti sekolah, neneknya akan meminta supaya keluarganya yang pulang ke kampung. Selama itu jugalah dia terpaksa memandang wajah hipokrit ibu saudaranya.
            “Lara! Salam mak cik,” suruh ibunya lantan mematikan lamunannya.
            Lara segera menghampiri pagar dan bersalaman dengan jiran ibunya itu.
            “Lara sekolah darjah berapa?” tanya jirannya lagi.
            “Baru lepas UPSR, mak cik,” jawab Lara.
            “Ooo...nak masuk sekolah menengah dah. Sebayalah dengan anak mak cik, Fakri,” ujar jirannya lagi.
            Lara hanya tersenyum.
            “Ya tak ya. Lara sebaya dengan Fakri,” kata ibunya pula.
            “Itulah. Haa...macam mana dengan ujian hari tu? Okey tak?” tanya jirannya kepada Lara.
            “Alhamdulillah. Setakat ni boleh kata okeylah. Cuma keputusannya saja tak tahu lagi,” jawab Lara.
            “Eh! Kami masuk dululah, ya. Penat dah berjalan jauh ni,” sampuk ibunya.
            “Yalah! Kita ni pun macam tak menyempat nak berborak,” ujar jirannya lantas ketawa.
            Mereka sekeluarga kemudian masuk ke dalam rumah teres dua tingkat yang dibeli bapanya sejak beberapa tahun yang lalu. Lara memandang sekeliling rumahnya. Seperti biasa rumahnya memang kemas dan cantik. Ibunya sememangnya seorang yang rajin dan kreatif dalam menyusun atur rumah. Ada sahaja idea kreatifnya dalam menghias rumah. Ketika Lara masih belum bersekolah dulu, dapat dia lihat hampir setiap minggu susun atur perabot rumahnya berubah hasil cetusan idea ibunya.
            “Lara, jom masuk bilik. Ibu dah kemaskan bilik Lara,” ujar ibunya.
            Lara menuruti langkah ibunya naik ke tingkat atas. Pintu bilik dibuka. Lara teruja melihat susun atur biliknya yang kemas. Perabotnya sudah ditukar baharu. Warna bilik juga sudah ditukar. Jika dahulu biliknya berwarna kuning cair, kini dindingnya telah berubah wajah menjadi warna biru lembut yang mendamaikan.
            “Lara suka tak?” tanya ibunya.
            “Suka!” jawab Lara.
            Ibunya tersenyum memandang Lara. Lara menuju ke katilnya. Dahulu katilnya hanya bersaiz bujang, kini telah ditukar kepada katil besar lengkap satu set dengan almari solek dan almari. Sesuai untuk anak gadis sepertinya yang sedang meningkat remaja.
            “Lara rehatlah dulu. Kemas baju-baju tu masuk dalam almari. Lepas maghrib nanti kita semua keluar makan, ya. Hari ini ibu tak masaklah. Esok baru ibu masak istimewa untuk Lara, ya,” beritahu ibunya.
            Lara sekadar mengangguk lantas tersenyum. Ibunya membalas senyuman Lara. Dia kemudian keluar dari bilik meninggalkan Lara sendirian. Lara memandang sekeliling biliknya. Dia menghampiri pintu sliding biliknya. Langsir berwarna putih dengan corak abstrak biru lembut diselak. Pintu sliding dibuka. Lara menuju ke balkoni biliknya. Dapat dia lihat pemandangan sekitar taman perumahan itu kerana kedudukan rumahnya agak tinggi di atas bukit.
            Lara memandang ke bawah. Dia terpandang seorang budak lelaki sedang mencuci kereta bersama seorang lelaki yang sudah remaja. Sesekali kelihatan mereka bergurau dengan memancutkan air daripada getah paip sesama mereka. Mereka kelihatan begitu gembira.
            “Ini tentu anak mak cik yang tegur aku tadi,” ucap Lara sendirian.
            Budak lelaki yang hampir sebaya dengannya sempat memandang ke arah Lara yang sedang memerhatikan mereka. Lara terkedu tatkala kehadirannya di situ disedari.
            “Kak Long!” tiba-tiba kedengaran suara Naim, adik lelakinya.
            Lara menoleh. Terpandang olehnya kedua-dua adik lelakinya. Naim dan Zaim meluru menuju ke katilnya lantas duduk di atasnya. Lara menuju ke arah adiknya.
            “Kak Long buat apa?” tanya Naim.
            “Tak ada buat apa. Saja tengok pemandangan di luar,” jawab Lara.
            “Kak Long duduk sini terus?” tanya Naim lagi.
            Lara tiada jawapan untuk soalan adiknya. Kalau boleh memang dia hendak terus bersekolah di Kuala Lumpur. Malas rasanya dia hendak pulang semula ke kampung datuk dan neneknya itu. Bukan kerana bencikan datuk dan neneknya. Tetapi kerana tidak tahan berdepan dengan sikap Mak Udanya. Lara mengeluh.
            “Kenapa Kak Long mengeluh?” tanya Naim.
            ‘Ah! Budak kecil ni banyak pula hendak ditanyanya,’ ucap Lara di dalam hati.
            “Kak Long!” panggil Naim.
            Naim merupakan anak kedua dalam keluarganya. Jarak usianya dengan Lara ialah empat tahun. Bermakna Naim sekarang berada di dalam Darjah Dua. Manakala Zaim pula baru sahaja berusia empat tahun. Bercakap pun belum fasih lagi.
            “Kak Long! Dengar tak, Naim tanya ni?” tanya Naim mendesak.
            “Ya! Kak Long dengar. Naim suka tak kalau Kak Long duduk sini?” tanya Lara kepada adiknya.
            Naim mengangguk laju.
            “Suka?” tanya Lara lagi inginkan kepastian.
            “Mestilah suka. Naim boringlah. Dalam rumah ni Naim tak ada kawan,” ujar Naim.
            “Zaimkan ada,” kata Lara pula.
            “Zaim budak kecil. Tak seronoklah nak main dengan Zaim. Kalau Naim buat kerja sekolah, Zaim selalu kacau,” jelas Naim.
            Lara ketawa memandang adik-adiknya. Zaim hanya diam terkedu memandang abangnya mengadu perangainya kepada kakaknya.
            “Kak Long!” panggil Zaim pula.
            “Ya, Zaim,”
            “Zaim nak sekolah!” ucap Zaim.
            “Zaim mana boleh sekolah. Zaim kecil lagilah,” sampuk Naim.
            Lara ketawa melihat gelagat adik-adiknya.
            “Lagi dua tahun, Zaim boleh sekolah,ya,” beritahu Lara.
            “Dua tahun? Zaim empat tahunlah!” ucap Zaim.
            “Ish...orang sekolah umur enam tahunlah!” kata Naim pula.
            Zaim menggaru kepalanya. Mungkin bingung memikirkan maksud kata-kata abangnya itu.
            “Tak apa, nanti Zaim dah besar sikit saja lagi, Zaim boleh sekolah,” kata Lara memberi harapan kepada adiknya.
            “Betul?” tanya Zaim.
            “Betul!” kata Lara.
            “Janji!”
            Lara ketawa lagi.
            “Kak Long jangan layanlah Zaim ni,” sampuk Naim pula.
            Tiba-tiba terpacul ayahnya di muka pintu bilik Lara.
            “Naim! Zaim! Pergi mandi. Kita nak keluar makan kejap lagi,” suruh ayahnya.
            Naim dan Zaim pantas turun dari katil dan berlalu dari bilik Lara. Ayahnya menghampiri Lara.
            “Tak kemas baju lagi?” tanya ayahnya.
            “Lara nak kemaslah ni,” jawab Lara.
            Lara menyusun pakaiannya.
            “Hmm...kemas cepat. Lepas tu mandi. Kita keluar makan,” arah ayahnya.
            Ayah Lara mula mengatur langkah untuk keluar dari bilik Lara.
            “Ayah!” panggil Lara.
            Ayahnya menoleh.
            “Ada apa Lara?” tanya ayahnya.
            “Boleh tak Lara bersekolah Menengah di KL?” tanya Lara.
            Ayahnya memandang Lara lama. Mata mereka saling berpandangan.

No comments:

Post a Comment