Thursday 27 June 2013

Bab 5 Secerah Langit



            Pagi Itu Lara bersemangat membantu Mak Uda menyiapkan sarapan pagi. Sesekali kelihatan dia menyanyi sendirian.
            “Haa! Bagus sangatlah perangai tu. Anak dara menyanyi di dapur! Dapat laki tua nanti baru tau!” herdik Mak Uda tiba-tiba.
            Lara berhenti menyanyi. Dia menumpukan perhatian terhadap kerja yang sedang dilakukannya. Sesekali dia menjeling melihat wajah Mak Udanya. Setelah hidangan siap dihidangkan di atas meja makan, Lara memanggil datuknya untuk bersarapan bersama. Sebelum itu Lara telah menghantar sarapan untuk neneknya di bilik.
            Petang itu ibu, ayah dan adik-adik Lara tiba. Kedatangan mereka disambut baik oleh datuk dan nenek Lara. Mak Uda pula tiba-tiba kelihatan sungguh mesra. Senyuman tidak lekang di wajahnya. Lara sedikit pun tidak berasa hairan dengan sikap ibu saudaranya itu. Sememangnya dia mengerti bahawa Mak Udanya itu memang pandai berlakon.
            “Mak dengan ayah sihat?” tanya ibu Lara kepada datuknya sambil bersalaman.
            “Alhamdulillah. Kami semua sihat,” ujar datuk Lara.
            Lara memandang ayahnya yang menbimbit beg pakaian. Hatinya tertanya-tanya.
            “Ayah! Beg baju ni nak bawa ke mana?” tanya Lara.
            “Nak bawa masuk biliklah,” jawab ayahnya.
            “Tapi ayah cakap, hari ni datang nak ambil Lara balik KL,” kata Lara pula.
            “Memanglah. Tapi malam ni kami tidur satu malam di sini. Kenapa? Tak boleh?” tanya ayah Lara.
            “Bukan tak boleh. Tapi si Lara tu dah tak sabar nak balik KL,” sampuk datuknya.
            Wajah Lara bertukar muram. Namun, jauh dalam hatinya simpati dengan ayahnya yang sudah memandu jauh. Tentu dia keletihan. Jika diikutkan hatinya, ingin sahaja dia balik hari itu juga. Melihat adik-adiknya seronok tatkala tiba di kampung, tidak sampai hati pula dia hendak meragut kegembiraan adik-adiknya.
            “Haa Lara! Termenung apa pula lagi tu?” tanya datuknya mematikan khayalan Lara.
            “Eh! Tak ada apa-apa,” jawab Lara lantas masuk ke dalam bilik.
            Beg pakaian yang terletak di atas katil dipandangnya lama. Bersemangat Lara mengemas pakaiannya malam tadi. Dia sangka esok pagi suasana baru yang akan dia pandang. Bukannya kampung datuknya itu. Bukan wajah Mak Udanya. Lara mengeluh.
            “Tak baik anak dara mengeluh,” sapa ibunya yang tiba-tiba terpacul di muka pintu bilik.
            Lara tersentak. Dia kemudian tersenyum memandang ibunya. Ibu Lara menghampirinya lantas duduk di sebelah Lara.
            “Dah kemas semua baju?” tanya ibunya.
            “Dari semalam Lara dah kemas, ibu,” jawab Lara.
            “Lara tak sabar nak balik rumah, ya?” tanya ibunya lagi.
            Soalan ibunya tidak dijawab.Lara memandang ibunya lama. Pandangannya sayu.
            “Ibu tak suka Lara balik rumah ibukah?” tanya Lara.
            “Lara...kenapa Lara cakap macam tu?” tanya ibunya kembali.
            Lara tunduk. Tidak semena-mena air matanya jatuh. Dadanya terasa sebak. Entah kenapa hatinya terasa seperti dihiris.
            “Lara...kenapa ni?” ibunya terus bertanya.
            Bahu Lara disentuh. Hairan melihat sikap anak gadisnya yang sungguh sensitif itu. Diusap bahu Lara berulang kali. Sementara sendu Lara semakin kuat. Air matanya gugur membasahi seluarnya.
            “Ibu dengan ayah tak sayang Lara?” tanya Lara dengan nada perlahan.
            “Ish...kenapa pula ibu dan ayah tak sayang Lara? Larakan anak kami. Anak sulung pula tu. Tentulah kami sayang sangat dengan Lara,” ucap ibunya.
            Lara mengesat air matanya. Dia mengangkat wajahnya memandang ibunya. Ibunya mengusap pipi Lara yang basah.
            “Anak ibu ni makin besar semakin sensitif. Lara jangan fikir yang bukan-bukan, ya. Semua orang sayangkan Lara. Tak mahu nangislah. Tak cantik nanti anak dara ibu ni,” pujuk ibunya.
            “Lara memang tak cantik pun,” ujar Lara.
            “Ish...siapa kata Lara tak cantik. Laralah anak ibu yang paling cantik,” puji ibunya.
            “Tipulah. Lara mana cantik. Sepupu yang lain lagi cantik daripada Lara,” kata Lara.
            “Ish...tak baik Lara cakap macam tu. Kita kena bersyukur. Lara cantik, cukup sempurna segala sifat Allah kurniakan. Tak baik Lara cakap begitu,” kata ibunya pula.
            Lara hanya diam. Wajahnya ditundukkan. Dia tahu memang ada kebenarannya kata-kata ibunya tadi. Dia sepatutnya bersyukur dengan apa yang telah Tuhan berikan kepadanya. Jika dia merasakan kekurangan pada dirinya, ada lagi orang lain yang kurang bernasib baik. Sekurang-kurangnya dia tidak cacat. Dia sempurna. Lara mengucap syukur di dalam hati.

No comments:

Post a Comment