Thursday 27 June 2013

Bab 4 Secerah Langit



            Peperiksaan UPSR selesai dengan jayanya. Bagi Lara dan Naemah, mereka telah mencuba sebaik mungkin. Hanya tawakal dalam hati semoga mereka tidak akan gagal dan mendapat keputusan yang cemerlang nanti.
            “Macam mana ujian tadi? Okey?” tanya Naemah pada Lara.
            “Bolehlah. Harap-harap kita akan dapat keputusan yang cemerlang,” jawab Lara.
            “Insya-Allah,” ujar Naemah.
            Lara menarik nafasnya dalam-dalam lantas perlahan dilepaskannya ke udara. Tamatnya peperiksaan UPSR bermakna bermulalah cuti sekolah yang panjang sebelum dia memulakan pembelajaran di peringkat menengah pula. Hatinya berbunga riang mengenangkan saat-saat dapat bersama keluarganya pada musim cuti sekolah nanti. Peluang yang sememangnya ditunggu-tunggu.
            Malam itu Lara mengemas pakaian yang hendak dibawanya pulang ke rumah. Hatinga terasa berbunga-bunga. Tidak sabar rasanya menanti hari esok. Tebal benar rindu Lara kepada ibu, ayah dan adik-adiknya. Lara tersenyum sendirian.
            “Jadi bapak kau datang ambil kau esok?” tanya Mak Uda.
            Lara terkejut. Langsung dia tidak menyedari sejak bila ibu saudaranya itu terpacul di muka pintu.
            “Ja...jadi Mak Uda,” ucap Lara.
            Mak Uda berlalu dari pintu bilik Lara. Sempat dia menjeling Lara sebelum berlalu. Lara hanya memandang kesal. Kesal dengan sikap ibu saudaranya itu. Hatinya tidak mengerti mengapa begitu benci sekali Mak Uda padanya.
            Ketika makan malam, kelibat Mak Uda tidak kelihatan di meja makan. Hanya Lara dan datuknya sahaja menikmati hidangan makan malam. Malam ini, Lara dapat menikmati makanan sepuas-puasnya. Lauk-pauk yang terhidang istimewa dari biasa. Ada ayam goreng, ikan pari asam pedas dan gulai nangka. Memang jarang Lara dapat merasa masakan istimewa Mak Udanya itu. Selalunya tiap kali pulang dari sekolah, hidangannya hanya sepinggan nasi bersama sepotong ikan goreng dengan kicap sahaja. Cuma ada hari-hari tertentu dia dapat menghirup kuah singgang lauk yang dimasak untuk neneknya.
            “Mak Uda mana Tok Ayah?” tanya Lara.
            “Entah! Katanya sakit kepala. Dah tidur agaknya,” jawab datuknya.
            Lara sekadar mengangguk. Dia meneruskan suapan. Sebenarnya seleranya tidak begitu terbuka malam ini. Walaupun di hadapannya terhidang lauk kegemarannya, iaitu asam pedas ikan pari. Hatinya seperti sudah sampai di rumah keluarganya. Rindu dengan masakan air tangan ibunya. Lara tersenyum sendirian.
            “Lara! Kenapa tersenyum-senyum ni? Kenapa tak makan nasi tu?” tanya datuknya mematikan lamunannya.
            “Eh! Emm...tak ada apa-apa,” jawab Lara cuba menyembunyikan perasaannya.
            “Hmm...macamlah Tok Ayah tak tahu. Lara tak sabar nak balik esokkan?” tanya datuknya lagi.
            Lara tersenyum memandang datuknya.
            “Lara balik nanti Tok Ayah tak ada kawanlah,” ujar datuknya.
            “Bukankah sekarang ini cuti sekolah. Mungkin cucu-cucu Tok Ayah yang lain akan balik bercuti di kampung nanti,” kata Lara.
            “Lara ni tak sayang Tok Ayah,ya,” ucap datuknya.
            “Ish...Tok Ayah jangan cakap macam tu. Lara sayang sangat kat Tok Ayah. Haa...apa kata kalau Tok Ayah ikut Lara balik KL?” tanya Lara.
            Datuknya ketawa.
            “Kenapa Tok Ayah ketawa? Lara bukan buat lawak pun,” tanya Lara.
            Berkerut keningnya memandang datuknya itu.
            “Tak ada apa-apa. Hmm...kalau Tok Ayah ikut Lara, siapa pula nak jaga nenek?” tanya datuknya kembali.
            “Mak Udakan ada. Mak Udalah jaga nenek,” jawab Lara.
            Datuknya tergelak.
            “Ketawa lagi. Hmm...kalau tak pun, kita bawa nenek sekali,” ujar Lara.
            Datuknya semakin galak ketawa. Lara memandang datuknya kehairanan.
            “Kenapa ni?” tanya Lara.
            “Tak ada apa-apa. Tok Ayah gembira tengok cucu Tok Ayah ni dah semakin besar dan matang,” ucap datuknya.
            “Hmm...tak ada kena mengena pun dengan topik kita tadi. Lara bukan ajak-ajak ayam. Lara ajak betul-betul,” ucap Lara.
            “Tok Ayah tahu. Tapi, Tok Ayah ni tak larat nak jalan jauh-jauh. Umur pun dah dekat 90 tahun,” ujar datuknya.
            “Tapi Tok Ayah masih kuat dan sihat,” ujar Lara.
            “Tak adalah sihat sangat. Kadang-kadang tewas juga dengan penyakit. Sengaja menggagahkan diri, Lara,” kata datuknya.
            Lara tersenyum memandang datuknya. Memang jika hendak dihitung pada usia datuknya yang sudah hampir menjangkau 90 tahun tentu sudah tidak kuat ke sana ke mari. Datuknya itu masih kuat ke ladang getah dan ladang sawit miliknya setiap pagi. Walaupun sudah ada pekerja yang diupah untuk menguruskan ladang-ladangnya itu, dia tetap turun padang. Cuma sesekali bila dirinya kurang sihat, dia akan meminta Pak Hamid pembantunya untuk menggantikan tempatnya.
            “Lara!” kedengaran suara datuknya.
            Lara yang sekali lagi tenggelam dalam lamunan tersentak.
            “Asyik berangan saja cucu Tok Ayah ni,” tegur datuknya.
            Lara tersengih memandang datuknya. Malu kerana ditangkap ketika mengelamun.
            “Sudah! Jangan nak berangan lagi ye. Cepat makan,” suruh datuknya.
            Lara mengangguk . Dia dan datuknya kembali menjamu selera. Bila terkenangkan bahawa dia akan pulang ke pangkuan keluarganya esok, hatinya mula berbunga riang. Tanpa disedarinya dia telah menambah nasi berpinggan-pinggan. Seleranya tiba-tiba sahaja terbuka.

No comments:

Post a Comment