Tuesday 25 June 2013

Bab 3 Secerah Langit



BAB 3
            “Lara! Lara!”
            Suara Mak Uda mengejutkan Lara yang sedang membaca di tangga depan rumah datuknya. Lara lantas menutup bukunya dan bingkas bangun menaiki anak tangga menuju ke arah suara Mak Uda.
            “Ya, Mak Uda. Mak Uda panggil Lara ke?” tanya Lara.
            “Yalah! Panggil kau! Ni! Baju sekolah kau ni. Berapa hari kau nak rendam? Bila nak basuh?” tengking Mak Uda.
            Mata Lara terkebil-kebil memandang Mak Uda.
            “Yang kau terkebil-kebil tu kenapa? Cepat! Basuh baju kau ni!” arah Mak Uda.
            Pantas Lara masuk ke bilik air dan mengambil baldi yang berisi pakaian sekolahnya. Dia kemudian mengangkat baldi tersebut menuju ke mesin basuh.
            “Haa...ke mana kau nak bawa baju kau tu?” tanya Mak Uda sambil bercekak pinggang.
            Lara terkejut dengan herdikan Mak Uda.
            “Lara...nak basuh,” jawab Lara sedikit tergagap.
            “Kau nak basuh di mana?” tanya Mak Uda lagi.
            “Dekat mesin basuh,” jawab Lara perlahan.
            “Kau jangan nak mengada-ngada. Cuci pakai tangan. Rosak mesin tu nanti,” tingkah Mak Uda.
            Lara memandang Mak Udanya sayu.
            “Kenapa kau pandang aku? Cepat pergi basuh baju tu!” suruh Mak Uda lantas meninggalkannya di situ.
            Lara mengeluh. Dia melangkah semula ke dalam bilik air untuk mencuci pakaiannya. Baju sekolah dalam baldi dikeluarkan. Lara mencapai berus baju dan sabun buku yang terdapat dalam bilik air. Dia kemudian memberus pakaian sekolahnya itu. Hatinya terasa sungguh sedih. Tanpa sedar air matanya gugur juga.
            “Menangis! Itu saja yang kau tahu!”
            Suara Mak Uda memeranjatkan Lara. Pantas Lara mengelap air matanya.
            “Kau dengar sini. Kau jangan mengada-ngada mengadu pada datuk atau nenek kau. Kalau aku tau mengadu pada mereka, siap kau aku kerjakan,” Mak Uda memberi amaran.
            Lara sekadar menunduk memandang pakaian sekolahnya yang disaluti buih sabun.
            “Hei, Lara! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” tanya Mak Uda geram melihat Lara yang hanya menunduk tanpa sebarang reaksi.
            Lara mengangguk.
            “Sudah! Basuh baju tu cepat! Jangan nak membazir air pula,” ujar Mak Uda.
            Lara meneruskan kerjanya mencuci pakaian sekolahnya. Setelah itu dia menyidai pakaian sekolahnya di ampaian. Setelah selesai menyidai pakaiannya, Lara masuk ke dalam rumah. Perutnya mula terasa lapar. Setelah meletakkan baldi di bilik air, Lara menuju ke dapur. Dia memandang tudung saji di atas meja. Lara tersenyum. Hatinya menyangka pasti ada makanan di bawah tudung saji tersebut. Perlahan dia menghampiri meja makan sambil sesekali matanya meliar mencari kelibat ibu saudaranya. Tudung saji dibuka. Namun, hatinya hampa kerana hanya ada sepiring sambal belacan di atas meja. Dia menutup semula tudung saji.
            “Lara cari apa?” tanya datuknya yang muncul tiba-tiba di dapur.
            “Eh! Tok Ayah. Lara...”
            “Lara lapar, ya? Hmm..Mak Uda Lara tak masak agaknya hari ni,” ujar datuknya.
            Lara tersenyum hambar.
            “Tak apalah Tok Ayah. Lara bukannya lapar sangat pun,” kata Lara.
            “Tok Ayah tahu Lara lapar. Jomlah, kita pergi makan mi goreng di warung tepi pantai,” ajak datuknya.
            Wajah Lara mula berseri. Dia tersenyum gembira dengan ajakan datuknya itu.
            “Dah, jomlah,” ajak datuknya lagi.
            Lara menuruti langkah datuknya.

No comments:

Post a Comment