Tuesday 25 June 2013

Bab 2 Secerah Langit



BAB 2
            Suasana bising di kantin sekolah menyebabkan Lara berasa sedikit rimas. Dia membuka bekas makanannya. Dia menyuakan dua keping roti yang disapu mentega kacang ke mulutnya. Lara mengunyah perlahan.
            ‘Hai Lara!” tegur Naemah rakannya.
            Naemah ialah rakan rapat Lara. Usia mereka berdua sebaya. Mereka sama-sama bakal menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi walaupun berada di dalam kelas yang berlainan.
            “Hai...” balas Lara lantas tersenyum memandang sahabatnya itu.
            “Awalnya turun makan. Tak tunggu kita pun,” kata Naemah.
            Lara ketawa kecil.
            “Dah kau lambat sangat,” kata Lara pula.
            “Entahlah, Cikgu Hasnah tu lambat sangat selesai mengajar,” ujar Naemah.
            Lara senyum memandang Naemah.
            “Kau bawa bekal apa hari ini?” tanya Naemah.
            “Aku sempat sapu roti dengan mentega saja pagi ni,” jawab Lara.
            “Ooo...” ucap Naemah.
            “Haa...kau tak bawa bekalkah hari ini?” tanya Lara.
            Naemah menggeleng sambil tersenyum hambar memandang Lara.
            “Di rumah aku dah tak ada barang hendak dimasak. Beras pun tinggal sikit. Tak sampai hati aku nak masak. Nanti mak dengan adik-adik aku tak dapat makan pula,” terang Naemah.
            Lara berhenti mengunyah. Dia memandang Naemah.
            “Kau ambillah roti ni,” ucap Lara lantas menghulur bekas makanannya kepada Naemah.
            “Eh! Tak apalah. Itukan makanan kau,” kata Naemah.
            “Tak apa, kau makanlah,” suruh Lara.
            Naemah menggeleng. Lara menyeluk sakunya. Dia mengeluarkan dompetnya. Dia mengeluarkan dua keping wang kertas seringgit lantas menghulurkannya kepada Naemah.
            “Nah! Kalau kau tak mahu makan roti aku, kau pergi beli makanan,” kata Lara.
            Naemah memandang Lara sayu.
            “Lara...apa ni? Tak apa, aku dah biasa tak makan,” ucap Naemah.
            “Mana boleh tak makan, nanti kalau sakit macam mana nak belajar?” tanya Lara.
            Naemah tunduk. Wajahnya bertukar muram.
            “Naemah, ambil ni. Aku ikhlas,” ucap Lara sambil meletakkan wang di genggaman Naemah.
            Naemah mendongak memandang Lara. Dia akui Lara telah banyak membantunya selama ini. Cuma kadang-kadang dia sendiri rasa bersalah. Lara selalu bawa bekal ke sekolah untuk simpan wang sakunya tetapi sering memberi wang kepadanya.
            “Lara...kau ni baik sangat dengan aku. Tak terbalas rasanya,” ucap Naemah.
            “Apalah sangat budi aku pada kau sampai nak berbalas-balas pula ni,” ujar Lara pula lantas tersenyum memandang temannya itu.
            “Yalah, kau banyak bantu aku. Belikan aku buku, bagi aku duit dam macam-macam lagi,” kata Naemah.
            Lara tersenyum.
            “Tak susah pun Naemah. Kau susah, aku pula ada rezeki lebih. Tak salah kalau kita berkongsi,” ucap Lara.
            Naemah tersenyum memandang sahabat baiknya itu.
            “Eh! Pergilah cepat beli makanan. Kejap lagi waktu rehat nak habis. Takut tak sempat pula nanti,” ujar Lara.
            “Baiklah. Aku pergi beli makanan dulu. Nanti kita makan sama-sama, ya,” ujar Naemah sebelum berlalu menuju ke kaunter kantin sekolah.
            Lara memandang Naemah.
            ‘Betapa bertuahnya aku jika hendak dibandingkan dengan Naemah. Aku beruntung punya nenek yang  penyayang. Ada Tok Ayah, Mak, Abah dan adik-adik. Nenek dan Tok Ayah sering beri aku kemewahan. Aku tak perlu berjalan kaki ke sekolah seperti Naemah, tak perlu mengikat perut kelaparan.’ Lara bermonolog di dalam hati.
            “Lara!”
            Lara tersentak.
            “Jauh nampak mengelamun. Sampai aku dah duduk sebelah kau pun tak perasan,” ujar Naemah.
            Lara senyum memandang Naemah.
            “Jom kita makan sama,” ajak Naemah.
            “Kau beli apa?” tanya Lara.
            “Nasi goreng. Jom kita makan sekali,” ajak Naemah.
            Lara tersenyum memandang Naemah. Dia kemudian mengangguk. Naemah senyum memandang Lara. Mereka berdua kemudian makan bersama-sama.

Bersambung....

1 comment:

  1. Ok kepada semua...saya dah publish Bab 2 Secerah langit...apa lagi yang jadi pada Lara? Nantikan Bab 3 pulak...ok ;-)

    ReplyDelete