Tuesday 12 August 2014

Hanie Soraya - Hujung Dunia (Official)

Hidup Ini Umpama Sungai Yang Mengalir

Assalamualaikum...
Sesungguhnya kejayaan itu memang sesuatu yang menjadi impian setiap orang. Tapi adakalanya kita tidak sedar kita sebenarnya telah mencapai kejayaan berulang kali. Kita sering lupakan kejayaan lantaran tidak bersyukur. Hanya ingat Sang Pencipta tatkala jatuh. Pasti kita selalu dengar ungkapan ini, "Gagal Sekali Bukan Bermakna Gagal Selamanya". Memang benar. Kalau kita berusaha tanpa putus asa pasti suatu hari nanti kejayaan akan menjadi milik kita. 
Tapi manusia selalu lupa. Kejayaan adakalanya juga bukan selamanya. Aku pernah merasa kejayaan.  Aku pernah disanjung kerana kejayaanku. Tapi pernahkah orang peduli bila kita gagal? Pernahkah orang ambil tahu tatkala aku jatuh? Mujur aku dianugerahkan kesabaran dan kekuatan diri. Mujur aku masih diberi hidayah bahawa aku sentiasa ada Allah. Dugaan, adakalanya mata yang memandang akan sering bertanya. Kenapa hidup aku sentiasa susah? Tidakkah aku berusaha untuk ke kehidupan yang lebih baik? Sukar untuk aku menjawab pertanyaan itu. Kerana aku tidak pasti sama ada yang bertanya itu akan mengerti. Hanya hati aku yang mampu menjawab Ya, kehidupan aku memang tidak mudah. 
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Tapi aku tahu aku punya Allah. Dugaan sebegitu adalah bahagianku. Bahagian untuk aku memainkan watakku di dunia Allah. Aku akui adakalanya aku tersasar. Tapi aku tidak pernah lupa kepadaNya. Sungguh hati aku sangat menyayangiNya. Kerana Dia tidak pernah meninggalkan aku. Kerana Dia sentiasa ada untukku. Kerana Dia tidak pernah menolak cintaku. 
Sebagai manusia, kita harus sedar. Setiap apa yang ditakdirkan untuk kita Allah tahu itu terbaik untuk kita. Redhalah. Tawakal. Namun usaha itu penting. Kerana "Usaha Tangga Kejayaan".
Hidup kita umpama sungai yang mengalir. Tidak akan berhenti selagi masa berdetik. Kita harus memikirkan hala tuju kita. Bukan orang lain. Kita harus jadi watak utama dalam kehidupan kita. bukan orang lain. 




Sekian sahaja coretanku untuk kali ini. Semoga dapat dijadikan renungan kita bersama. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah. Dan yang sebaliknya adalah daripada kelemahan aku sendiri.

Wassalam.

Sunday 10 August 2014

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum...
Sudah lama rasanya aku tinggalkan blog ni. Lama tak post sesuatu yang baru. Sempena syawal yang mulia ni aku pun nak memohon maaf kepada semua rakan-rakan dan semua yang mengenali aku. Entah kenapa kali ini aku benar-benar sedih tatkala Ramadhan bakal ditinggalkan. Sayu kerana ramadhan ini aku benar-benar terasa nikmat Allah. Hati aku tersentuh dengan segala yang berlaku. Peristiwa MH17 yang turut melibatkan salah seorang keluarga kenalan sahabat baikku benar-benar buat aku terasa betapa jika tiba ajal kita tidak akan sedetik pun tercepat mahupun terlewat. Aku terfikir, andai tiba ajalku di mana aku ketika itu. Tatkala melihat anak-anak Palestin di Gaza yang terbunuh hampir setiap hari membuatkan hati aku terdetik untuk ke sana. Kalau aku seorang mutan seperti cerita X-Men sudah lama aku bunuh semua tentera Israel yang kejam.
Ramadhan...andai bisa, aku ingin Ramadhan sepanjang tahun. Bukan kerana aku tidak mengalukan syawal. Cuma aku rasa Ramadhan terlalu banyak keberkatan dan nikmatnya. Ramadhan menjadikan aku insan yang lebih baik. Cabaran di bulan-bulan yang lain adakalanya menjadikan hati aku rapuh. Tidak sekuat di bulan Ramadhan. Sungguh ya Allah. Aku ingin jadi insan yang lebih baik. Yang mendapat tempat di hatiMu ya Allah. Biar tiada sesiapa untukku di dunia ini. Asalkan Kau sentiasa ada untukku ya Allah.
Aku mahu tinggalkan segala yang menjadi kemungkaranMu. Biarlah aku tinggalkan segalanya di masa lalu. Aku mahu sucikan diriku dari dosa. Moga kau ampunkan dosaku ya Allah. Banyak sungguh dosaku.
Ku tinggalkan zaman silamku. Aku ingin menjadi orang yang baru. Orang yang lebih mengaut harta untuk bekalan ke akhirat berbanding duniawi...







Izinkan aku membahagiakan kedua-dua ibu bapaku. Aku ingin bahagiakan mereka ya Allah. Semoga umurku panjang. Sekurang-kurangnya sehingga aku sempat membalas jasa mereka.
Sekian coretanku untuk hari ini.