Tuesday 12 August 2014

Hidup Ini Umpama Sungai Yang Mengalir

Assalamualaikum...
Sesungguhnya kejayaan itu memang sesuatu yang menjadi impian setiap orang. Tapi adakalanya kita tidak sedar kita sebenarnya telah mencapai kejayaan berulang kali. Kita sering lupakan kejayaan lantaran tidak bersyukur. Hanya ingat Sang Pencipta tatkala jatuh. Pasti kita selalu dengar ungkapan ini, "Gagal Sekali Bukan Bermakna Gagal Selamanya". Memang benar. Kalau kita berusaha tanpa putus asa pasti suatu hari nanti kejayaan akan menjadi milik kita. 
Tapi manusia selalu lupa. Kejayaan adakalanya juga bukan selamanya. Aku pernah merasa kejayaan.  Aku pernah disanjung kerana kejayaanku. Tapi pernahkah orang peduli bila kita gagal? Pernahkah orang ambil tahu tatkala aku jatuh? Mujur aku dianugerahkan kesabaran dan kekuatan diri. Mujur aku masih diberi hidayah bahawa aku sentiasa ada Allah. Dugaan, adakalanya mata yang memandang akan sering bertanya. Kenapa hidup aku sentiasa susah? Tidakkah aku berusaha untuk ke kehidupan yang lebih baik? Sukar untuk aku menjawab pertanyaan itu. Kerana aku tidak pasti sama ada yang bertanya itu akan mengerti. Hanya hati aku yang mampu menjawab Ya, kehidupan aku memang tidak mudah. 
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Tapi aku tahu aku punya Allah. Dugaan sebegitu adalah bahagianku. Bahagian untuk aku memainkan watakku di dunia Allah. Aku akui adakalanya aku tersasar. Tapi aku tidak pernah lupa kepadaNya. Sungguh hati aku sangat menyayangiNya. Kerana Dia tidak pernah meninggalkan aku. Kerana Dia sentiasa ada untukku. Kerana Dia tidak pernah menolak cintaku. 
Sebagai manusia, kita harus sedar. Setiap apa yang ditakdirkan untuk kita Allah tahu itu terbaik untuk kita. Redhalah. Tawakal. Namun usaha itu penting. Kerana "Usaha Tangga Kejayaan".
Hidup kita umpama sungai yang mengalir. Tidak akan berhenti selagi masa berdetik. Kita harus memikirkan hala tuju kita. Bukan orang lain. Kita harus jadi watak utama dalam kehidupan kita. bukan orang lain. 




Sekian sahaja coretanku untuk kali ini. Semoga dapat dijadikan renungan kita bersama. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah. Dan yang sebaliknya adalah daripada kelemahan aku sendiri.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment