Tuesday 4 June 2013

Secerah Langit


BAB 1
Lara mengayuh basikalnya di dalam hujan. Dia tidak peduli tubuhnya kuyup disirami lebatnya hujan yang turun membasahi bumi. Air matanya turun lebat selebat hujan. Dendam di jiwa semakin memberontak. Seakan terasa membenci dirinya sendiri.
            Dia berhenti di bawah pokok besar di tepi pantai Kampung Seri Lalang, Mersing. Tiada sesiapa di situ. Tubuhnya yang lencun dibiarkan. Wajahnya basah disirami hujan yang bercampur air mata. Begitu juga tubuhnya. Basah. Bahu anak gadis sunti berusia 12 tahun itu terhinggut-hinggut menahan tangisan. Terngiang-ngiang ditelinganya kata-kata dari ibu saudaranya sendiri.
            “Kau tu dahlah bodoh! Buruk! Cubalah sedar diri sikit! Entah-entah mak bapak kau hantar kau kat sini pun sebab malu dapat anak macam kau!” tingkah Mak Uda.
            Air mata Lara semakin laju. Sendunya semakin kuat. Rasa seperti membenci dirinya sendiri.
            “Aku tau aku tak secantik dan sebijak sepupuku yang lain. Tapi aku juga manusia. Ada perasaan. Ada hati,” kata Lara sendirian di dalam hujan.
            Memang di bawah pohon besar itulah Lara akan melepaskan perasaannya sendirian. Setiap kali jiwanya tertekan sejak dia dihantar tinggal di rumah nenek dan datuknya. Di tepi pantai itu jugalah dia mengadu dengan laut, dengan ombak, dengan burung-burung camar.
            “Aku tak bodoh!!!Aku tak bodoh!!!” jerit Lara kuat melepaskan perasaannya.
            Hujan semakin reda. Lara duduk di bawah pohon. Angin bayu yang berhembus bagaikan menggigit kulit Lara di dalam pakaian yang basah. Terasa dingin. Air matanya masih terasa di pipi. Hangat. Lara membiarkan air hangat itu menghabiskan sisanya.
            Perasaannya sudah semakin tenang. Namun dalam hatinya masih berbekas. Bagaikan ada dendam yang terpendam. Pandangannya dihalakan jauh ke tengah laut. Terasa tenang tatkala bayu menyapa lembut wajahnya. Dia rindukan ibu bapanya. Adik-adiknya. Terbit satu keluhan panjang.
            Lara menyorong basikalnya keluar dari kawasan pantai. Rasanya sudah lama benar dia meninggalkan rumah. Pasti nenek dan datuknya tercari-cari dirinya sekarang. Hari sudah menjengah senja.
            Lara memandang langit. Hujan sudah berhenti. Demikian juga tangisannya tadi. Dia mula mengayuh basikalnya sebaik sahaja tiba di jalan bertar. Apa yang pasti, soalan-demi soalan akan menerjah dirinya sebentar lagi. Nenek dan datuk akan bertanya ke mana dia pergi. Mak Uda pula akan pura-pura risau di depan nenek.
            Tatkala tiba di tangga rumah nenek dan datuknya. Mak Uda sudah sedia menunggu di muka pintu.
            “Kau ke mana saja ni? Dengan basah kuyupnya. Main hujan, ya?” tanya Mak Uda.
            Lara diam tidak menjawab. Dia meletakkan basikalnya di bawah rumah lantas menaiki anak tangga rumah. Dia lalu di tepi Mak Uda. Menambahkan lagi sakit hati Mak Udanya. Lara lalu di katil di mana neneknya ditempatkan. Neneknya yang lumpuh.
            “Lara ke mana?” tanya nenek lembut.
            “Lara ke pantai,” jawab Lara.
            Lara berjalan masuk ke dalam biliknya. Dia mencapai tuala mandi lantas menuju ke bilik mandi. Datuknya yang berada di dapur memandangnya.
            “Mandi basah kepala tu. Nanti demam susah,” ucap datuknya.
            Lara sekadar mengangguk sambil tersenyum memandang datuknya. Dia masuk ke dalam bilik mandi. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi simbahan air dari bilik mandi. Segar rasa tubuhnya tatkala air menyirami dirinya.
Selesai mandi, Lara menyarung pakaiannya. Dia kemudian duduk di sebelah kerusi malas datuknya. Datuknya sedang duduk sambil menghisap rokok daun berisi tembakau. Di meja sisi terdapat segelas besar air kopi o yang masih panas berasap.
“Tok Ayah nak pisang goreng tak? ” tanya Lara kepada datuknya.
Datuknya tersenyum memandang cucu kesayangannya.
“Lara nak makan pisang goreng?” tanya datuknya tanpa menjawab soalan yang di utarakan Lara sebentar tadi.
Lara senyum. Datuknya faham akan kehendak cucunya itu lantas tersenyum sambil tangannya mengusap-usap kepala Lara.
“Pergi ambil beg duit Tok Ayah dalam bilik,” suruh datuknya.
Lara bingkas bangun menuju ke bilik datuknya. Ketika itu Mak Udanya yang baru keluar dari dapur memandang Lara kehairanan.
“Kau nak ke mana?” tanya Mak Uda.
“Ke bilik Tok Ayah,” jawab Lara.
“Buat apa?” tanyanya lagi.
“Tok Ayah suruh ambil beg duit dia,” jawab Lara lagi lantas terus berlalu meninggalkan Mak Udanya yang masih memandangnya.
Lara malas hendak pedulikan ibu saudaranya itu. Kalau dilayan terus pasti ada sahaja yang tidak kena di pandangan mata Mak Udanya itu. Setelah mengambil beg duit kepunyaan datuknya yang ada di atas meja di dalam bilik, Lara keluar mendapatkan datuknya. Mak Uda yang sedang membantu neneknya ke bilik air memandangnya dengan wajah tidak berpuas hati.
Lara tidak mengendahkan Mak Udanya. Beg duit bertukar tangan. Datuknya mengeluarkan sekeping wang kertas merah lantas dihulurkan kepada Lara. Lara menyambutnya.
“Nak beli berapa ringgit?” tanya Lara.
“Belilah dua ringgit,” jawab datuknya.
Lara mengangguk. Dia melangkah menuruni tangga sambil diperhatikan datuknya. Basikalnya dicapai lantas dikayuh perlahan menuju ke gerai pisang goreng yang terletak di tepi pantai berhampiran rumah datuk dan neneknya.
Lima belas minit kemudian, Lara kembali dengan beg plastik berisi pisang goreng panas. Datuknya masih lagi duduk di kerusi malas tadi. Lara menuju ke arah datuknya selepas menyimpan basikalnya. Wang baki diserahkan semula kepada datuknya.
“Lara simpan saja duit tu untuk belanja sekolah,” kata datuknya.
Lara senyum memandang datuknya.
“Terima kasih, Tok Ayah,” ucap Lara.
Datuknya tersenyum memandang Lara.
“Lara isi pisang goreng ni dalam pinggan dulu, ya,” Lara meminta diri untuk ke dapur.
Datuknya mengangguk. Duit baki tadi dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Lara menuju ke dapur. Pinggan kaca berwarna jernih dicapainya dari rak pinggan. Pisang goreng yang masih panas dikeluarkan dari beg plastik dan diletakkan ke dalam pinggan. Pinggan itu kemudiannya ditatang menuju ke tempat datuknya duduk.
Sambil berjalan menuju ke bahagian hadapan rumah, mata Lara tercari-cari kelibat Mak Udanya. Namun tidak kelihatan. Mungkin Mak Udanya masih di dalam bilik air bersama neneknya. Pinggan berisi pisang goreng diletakkan di meja di mana gelas kopi yang isinya sudah luak separuh terletak.
“Makan Tok Ayah,” pelawa Lara.
Datuknya mencapai sekeping pisang goreng yang dihidang Lara. Dia menggigit pisang goreng yang masih panas itu. Kemudian terlihat dia mengunyah-ngunyah tumpul pisang goreng dalam mulutnya yang sudah tidak bergigi itu. Lara yang sedang memandang datuknya ketawa. Datuknya memandang Lara.
“Ooo...ketawakan Tok Ayah, ya!” ucap datuknya sambil sedikit pisang goreng yang belum lumat dikunyah masih di dalam mulut.
Lara masih ketawa.
“Tok Ayah dah tua. Gigi pun dah tak ada. Susah nak mengunyah,” jelas datuknya.
Lara masih menghabiskan sisa tawanya.
“Lara makanlah,” suruh datuknya.
Lara mencapai sekeping pisang goreng lantas disuakan ke mulutnya. Dia menggigit pisang goreng yang ranggup luarnya dan lemak manis isinya. Sedap.
            “Haa...lepas makan jangan tinggal saja pinggan tu di situ!” tiba-tiba kedengaran suara Mak Uda.
            Lara menoleh terkejut.
            “Biarlah Uda...dia nak makan ni. Nanti pandailah dia kemas,” kata datuknya membela Lara.
            Lara hanya diam. Tidak berani hendak menjawab. Jika dijawab pasti akan lebih panjang jadinya bebelan Mak Uda nanti. Perlahan dia bangun dan mengangkat pinggan.
            “Nak ke mana?” tanya datuknya.
            “Ke dapur,” jawab Lara.
            “Pisang goreng tukan belum habis lagi. Kenapa angkat pinggannya?” tanya datuknya.
            “Tok Ayah nak lagi?” tanya Lara tanpa menjawab soalan datuknya.
            “Tok Ayah dah kenyang. Lara makanlah di sini,” jawab datuknya.
            Lara meletakkan kembali pinggan berisi pisang goreng di atas meja. Dia duduk kembali.
            “Jangan ambil hati sangat dengan Mak Uda kamu tu. Dia tu memang begitu,” pujuk datuknya.
            Lara memandang datuknya lantas tersenyum hambar. Hatinya sedikit terguris. Terguris dengan layanan ibu saudaranya selama ini. Ibu saudaranya yang digelar Mak Uda itu merupakan seorang janda tanpa anak. Suaminya  meninggal dunia tiga tahun yang lalu.
            Lara masih ingat ketika arwah Pak Uda masih hidup, dia selalu dimanjakan oleh bapa saudaranya dulu. Apa yang menghairankan, ibu saudaranya sendiri tidak pernah memanjakannya begitu. Sedangkan Mak Uda adalah kakak kandung ayahnya sendiri.
            “Lara!” Mak Uda menjerit memanggil nama Lara.
            Lara sedikit tersentak dengan suara jeritan ibu saudaranya itu. Dia menoleh memandang ibu saudaranya.
            “Ada apa Mak Uda?” tanya Lara.
            “Mari sini! Tolong aku angkat nenek,” jawab Mak Uda garang.
            “Baik, Mak Uda,” jawab Lara lantas bangun menuruti langkah Mak Uda.
            Lara membantu Mak Uda mengangkat neneknya yang lumpuh ke atas katil.
            “Terima kasih, Lara,” ucap neneknya.
            “Sama-sama nek,” balas Lara lantas tersenyum.
            “Tok Ayah mana?” tanya neneknya lagi.
            “Ada kat depan nek,” jawab Lara.
            Mak Uda memandang Lara yang mencapai sikat lantas menyisir rambut neneknya. Dia mencebikkan bibir sambil menjeling lantas berlalu dari situ. Jengkel dia melihat kemesraan Lara dan neneknya. Lara sempat memandang wajah ibu saudaranya itu.
            “Lara dah makan?” tanya neneknya.
            “Dah nek,” jawab Lara sambil tangannya menyisir perlahan rambut neneknya yang berwarna putih.
            “Lara...” panggil neneknya.
            “Ya, nek,” sahut Lara.
            “Sekolah Lara macam mana?” tanya neneknya.
            “Okey,” jawab Lara ringkas.
            “Baguslah. Lara belajar rajin-rajin, ya,” ujar neneknya.
            “ Baik nek,” ucap Lara.
            Neneknya mengangguk-angguk sambil tersenyum. Lara menyanggul kemas rambut neneknya.
            “Dah siap nek!” ujar Lara.
            “Terima kasih, sayang,” ucap neneknya.
            “Sama-sama,” balas Lara.
            Neneknya memegang tangan Lara. Dia memandang cucu kesayangannya itu.
            “Kerja sekolah dah siap?” tanya nenek.
            “Belum,” jawab Lara.
            “Hmm...pergi siapkan kerja sekolah,” suruh neneknya.
            “Baik, nek! Lara pergi buat kerja sekolah dulu, ya!” Lara meminta diri.
            Neneknya mengangguk sambil tersenyum. Lara turun dari katil neneknya menuju ke bilik untuk menyiapkan kerja sekolahnya.



Bersambung....

2 comments:

  1. WOW.... best cerita yer tp sayang bersmbung lak hehehehe

    ReplyDelete
  2. ok amer...jap post bab 2 k....tq for ur comment :)

    ReplyDelete